BALIK PULAU 3 Ogos - Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dekat Bayan Baru di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Lim Hock Hean, 24, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.
Hock Hean ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah berdekatan motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Permatang Damar Laut ke tempat kerja di Sungai Nibong.
“Ketika mangsa sampai di susur keluar dari arah Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, motosikalnya dikatakan hilang kawalan dan terbabas seorang diri sebelum merempuh pembahagi konkrit jalan.
"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa dilaporkan mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Anuar, siasatan lanjut berhubung punca kemalangan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE