Friday 5 August 2016

Filled Under:

Program ‘Jom Masuk UniMAP’ Buka Peluang Menyambung Pengajian Kepada Yang Kurang Berkemampuan..


Kangar – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan meneruskan Program “Jom Masuk UniMAP” khusus untuk membantu pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, anak yatim atau dijaga oleh ibu/bapa tunggal meneruskan pengajian ke program-program pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang ditawarkan di universiti tersebut .
Walaubagaimanapun, calon pelajar perlu memenuhi syarat-syarat am dan khas kemasukan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti dengan keutamaan diberikan kepada calon daripada Aliran Sains.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Promosi Universiti, Prof. Madya Dr Rizalafendi Ismail, program ini adalah khusus bagi pengambilan kemasukan bagi Sidang Akademik 2016/2017 yang akan berdaftar September ini.
“Calon pelajar yang berminat bolehlah mengunjungi sesi jerayawara yang dikendalikan oleh Sekretariat Promosi dan Bahagian Pengurusan Akademik UniMAP di lima lokasi terpilih di negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur,” ujar beliau yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jom Masuk UniMAP akan berlangsung serentak mulai 6 hingga 12 Ogos di tiga lokasi iaitu One Stop Centre UniMAP di Bangunan KWSP Kangar, Anjung UniMAP Kulim di Kulim Hi Tech Park dan Anjung UniMAP Kuala Lumpur di Tingkat 26, Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sekretariat Jom Masuk UniMAP juga akan berada di Pejabat Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu pada 6 Ogos dan Bilik Seminar Sutera Inn Prima, Kota Bharu, Kelantan pada 7 Ogos mulai jam 9 pagi hingga 1 petang.
Menurut Dr Rizalafendi, program tersebut adalah selaras dengan aspirasi kerajaan yang menggalakkan Universiti Awam (UA) menjelajah ke setiap pelusuk termasuk di luar bandar bagi membantu pelajar-pelajar yang berkelayakan tetapi kurang berkemampuan supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.
“Kerajaan sedar peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi semakin sengit dan atas beberapa faktor menyebabkan pelajar yang tinggal di luar bandar tercicir,” katanya.
 “Pelajar yang berminat perlu membawa salinan dokumen yang diperlukan iaitu kad pengenalan, slip gaji, salinan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Matrikulasi/ Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/ Diploma, Sijil MUET, salinan slip gaji atau akuan pendapatan yang disahkan serta Kad OKU atau Kad JKM (jika berkenaan),” jelas beliau.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi, Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar dii talian 04-979 8706 atau 04-979 7941.

Source: www.unimap.edu.my