Awi ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri IM4U berkata, kemalangan tersebut menerbitkan rasa insaf dalam dirinya, sekali gus membulat tekad untuk dia mendekati Allah.
“Justeru, karya-karya yang dimuatkan dalam album terkini, Euphoria yang bakal dilancarkan pada November ini diolah berbeza terutama liriknya yang berunsur nasihat, selain menggunakan medium muzik sebagai medan dakwah.
“Nyawa saya ketika itu ibarat berada di hujung tanduk. Jarak kesan hentaman yang berlaku di belakang kepala saya hanya beberapa sentimeter sahaja dari kawasan yang boleh mengakibatkan maut. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah panjangkan usia untuk terus bernafas sehingga ke hari ini.
“Lantaran itu, saya tidak mahu berlengah lagi untuk terus mengejar duniawi. Tiba masanya untuk saya berbuat atau menyumbang sesuatu terhadap komuniti. Jadi, Euphoria adalah medium terbaik untuk dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya kepada HITS.
Mengimbas balik insiden Mei lalu, Awi seolah-olah nyawa-nyawa ikan dek kemalangan ngeri yang dialaminya setelah dilanggar dan diseret sebuah kereta ketika dia menunggang motosikal berkuasa besar yang baru sahaja dua minggu dibelinya.
Mujur, pemandu kereta berkenaan tidak melarikan diri, sebaliknya bertanggungjawab mengejarkan penyanyi dan komposer itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.
Tatkala sedar, Awi dimaklumkan doktor, dia amat bernasib baik kerana kesan hentaman tersasar sedikit lalu menyelamatkan nyawanya.
“Apabila pulih sepenuhnya, tiada yang lain mampu difikirkan selain mencurah ilham yang hadir ketika itu, semuanya bersifat kerohanian. Jadi, saya tahu itulah masanya untuk berbakti kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokong kerjaya selama ini.
“Ini adalah tanggungjawab sosial yang wajib saya laksanakan. Setelah memperoleh kejayaan yang dikecapi sebelum ini yang ‘diberi’ oleh peminat dan penyokong, saya perlu membalasnya semula. Inilah cara paling sesuai untuk ‘memberi’ kembali kepada mereka,” tutur Awi yang mahu menonjolkan satu perspektif lain terhadap karier seninya yang telah dibina selama enam tahun.
Mengulas lanjut tentang penerbitan Euphoria, Awi memberitahu terdapat lapan buah lagu baharu yang bakal dimuatkan. Kau Di Hatiku menjadi karya yang akan dipertaruhkan sebagai single, yang memperdengarkan hasil kolaborasi Awi bersama penyanyi rap terkenal dan sinonim dengannya, Altimet.
Dalam pada itu, karya Mulakan Dengan Bismillah juga diharap dapat meninggalkan impak tersendiri apabila ia dilancarkan sebagai single seterusnya kelak. Pada masa yang sama, Awi juga sedang sibuk menyiapkan single terbaharu buat penyanyi bersuara lantang, Ayu Damit berjudul Beauty Till Jannah