
KUALA LUMPUR 31 Julai - Selepas ‘selfie’, kini ghairah melayan Facebook atau ‘Facebooking’ pula dikaitkan dengan masalah tingkah laku yang serius.
‘Facebooking’ yang popular dalam kalangan generasi muda dikatakan boleh menyebabkan ketagihan sehingga memberi impak negatif kepada individu tersebut.
Pakar Psikologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohammad Firdaus Abdul Aziz berkata, meskipun tiada sebarang kajian spesifik dilakukan di Malaysia yang membuktikan kaitan antara Facebook dan masalah tingkah laku, individu yang ketagihan Facebook didapati mempunyai kesemua ciri-ciri yang dikaitkan dengan ‘pesakit’ tingkah laku.
“Ketagihan ini bukan sahaja boleh membawa impak negatif terhadap gaya hidup malah juga menjejaskan tahap produktiviti mereka di tempat kerja,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas menyampaikan ceramah di Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohammad Firdaus memberitahu, budaya Facebook dilihat semakin popular sejak pengenalan telefon pintar yang memungkinkan setiap pengguna telefon mengakses kepada internet di mana-mana sahaja.
Beliau berkata, pengguna gagal untuk memikirkan bahaya penggunaannya sehingga ada di antara mereka yang ghairah membalas komen supaya tidak ketinggalan meskipun sedang memandu.
“Mereka tahu itu perkara salah, tetapi ketagihan yang melampau menyebabkan mereka gagal mengawal tingkah laku dan tidak selesa,” ujarnya.
Kata beliau, ramai juga dijangkiti penyakit ‘antisosial’ yang mana mereka tidak berkomunikasi sesama rakan meskipun duduk bersebelahan sebaliknya ghairah melayari Facebook.
“Jika ditegur, golongan ini mudah menjadi sensitif dan marah,” katanya.