Pelancong Australia Ini Kongsi Kisah Aneh & Seram Yang Sedang Berlaku Kepada Keluarganya Selepas Bercuti di Malaysia Beberapa Hari Lalu
Hai semua, saya sudah lama membaca (reddit) secara senyap, tapi ini
penulisan pertama. Saya cuma perlukan satu tempat untuk bercakap
mengenai perkara pelik yang berlaku di rumah baru-baru ini.
Sedikit pengenalan, kami 6 sekeluarga (ibu, ayah, dua abang, saya serta
adik perempuan) dan kami semua lahir dan dibesarkan di Melbourne,
Australia. Ibu dan ayah saya masih lagi bekerja dalam bidang farmasi,
saya dan abang-abang saya sedang belajar di universiti (Semua di Monash
Univerity) manakala adik perempuan saya bakal bergraduasi dari sekolah
(kami jangkakan dia akan lulus cemerlang).
Sekarang, kami sedang cuti pertengahan sem dan cuti sekolah. Sebagai
ganjaran, ibu bapa saya bercadang untuk bercuti selama seminggu dan
bertanyakan jika kami mahu pergi ke Asia Tenggara, lebih tepatnya
Malaysia. Tanpa banyak soal, saya setuju, begitu juga dengan adik
beradik saya yang lain.
Jadi kami pergi Lapangan Terbang Melbourne 2. Semua berjalan lancar.
Naik pesawat dan 'menikmati' perjalanan selama 6 jam di dalam tube besi
itu.
Akhirnya, kami mendarat, masuk ke bilik hotel, makan malam, mandi dan
bersedia untuk pengembaraan yang sudah kami rancang untuk minggu itu. Ia
kelihatan seperti bakal menjadi cuti yang menenangkan; seperti yang
saya harapkan. Namun tidak.
Disinilah saat semuanya menjadi sedikit pelik. Fakta ringkas tentang
keluarga saya, kami adalah pelancong-pelancong yang 'biasa', dengan
kamera tergantung di leher. Kami tak pernah 'lari' dari laluan normal
pelancong. Kami tidak mencari tempat-tempat eksotik yang mana
pelancong-pelancong seperti kami tidak mahu peduli pun dan kami sudah
tentu tidak akan melakukan sesuatu secara spontan; semua dalam hidup
saya sudah pun dirancang oleh ibu bapa saya dan ia sudah menjadi sebati
dengan diri saya.
Jadi ia sedikit pelik buat saya apabila bapa saya memberi cadangan -
daripada melawat Putrajaya, lebih baik kami biarkan kereta 'membawa ke
mana kami patut pergi'. Tidak, ini serius. Bapa saya - seorang lelaki
yang mengambil jalan yang sama setiap hari bekerja - tiba-tiba
mencadangkan untuk melakukan sesuatu yang spontan dan tidak masuk akal
(kepada saya) dengan mengembara ke satu tempat yang belum diketahui
lagi. Lebh pelik, semua yang lain bersetuju dengannya.
Jujur, saya rasa seperti tidak mahu mengembara ke dalam belantara
Malaysia, jadi saya mengambil keputusan untuk tidak ikut dan berehat di
bilik hotel dengan wifi percuma. Keluarga saya semuanya OK dengan itu
dan kami berpisah. Saya tahu ianya sangat 'cliche' tapi dalam hati saya
berkata perjalanan ini tidak akan berakhir dengan bagus dan saya rasa
ianya salah saya juga tidak menasihati bapa saya untuk tidak teruskan
idea bodoh ini.
8 jam kemudian (mereka bergerak pada tengahhari waktu tempatan), mereka
masih belum pulang dan saya mula menjadi risau dan berfikir perkara yang
bukan-bukan. Tidak ada cara buat saya untuk menghubungi mereka jadi
saya menetapkan akan menghubungi pihak berkuasa tempatan dan konsul
Australia jika mereka tidak pulang selepas pukul 10. Pada 9.20, saya
terdengar bunyi 'beep' kad pada pintu dan mereka semua berjalan masuk
terhuyung hayang; seolah-olah seperti baru belajar berjalan. Untuk
menenangkan fikiran, saya memberitahu diri saya : selepas berjalan
selama 10 jam, saya mungkin jadi macam mereka juga.
Mereka juga berbau. Busuk. Ianya bau yang sangat teruk, seperti bangkai busuk dan sulfur.
Mereka pulang ke hotel dan saya, yang juga penat ketika itu, pergi
menghadap katil dan tidur. Pada pagi esoknya, saya terbagun semula dan
dikejutkan dengan perkara yang tidak dijangka. Biarpun percutian masih
berbaki seminggu lagi, saya lihat 'keluarga' saya mula mengemas barang
dan 'bapa' saya memeriksa kami di bahagian bawah. "Bapa" saya kemudian
naik ke atas semula dengan senyuman tidak ikhlas (saya tidak pernah
lihat senyuman itu sejak dari lima tahun) dan memberitahu yang kami
perlu balik ke Melbourne kerana ada hal kerja yang memerlukan khidmat
dia dan ibu.
Sekali lagi, sebagai anak yang patuh, saya cuma ikut sahaja. Keluarga
saya masih lagi berbau busuk dan tidak ada bukti bilik air sudah
digunakan oleh mereka tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya
sangat sopan dan lemah lembut dan tidak suka banyak soal.
Kami check out, panggil teksi, dan pergi ke KLIA. Semua berjalan lancar
(memandangkan kami memegang pasport Australia) dan kami naik ke dalam
pesawat. Di sinilah perkara menjadi teramat-amat pelik. Bagi yang tak
pernah terbang ke Australia, setiap penumpang perlu mengisi 'inbound
travelling card' yang mengatakan siapa kamu dan apa yang kamu bawa ke
dalam negara. Antara maklumat yang perlu diisi adalah nama, tarikh lahir
dan nombor pasport serta beberapa soalan yang perlu dijawab. Kami tidak
kekok dengan benda ini kerana sudah beberapa kali melancong, tapi tiada
seorang pun dalam keluarga saya tahu bagaimana nak guna sebatang pen.
Seterusnya, selepas melihat mereka mencakar ayam kertas itu (kelihatan
seperti bahasa cyrillic atau hebrew atau benda yang sama seperti itu),
saya mengalah dan mengisi kad itu untuk semua orang. Bermula dari sini,
saya ketakutan.
6 jam kemudian, kami mendarat, pergi ke arah kastam dan selepas beberapa
jawapan mengarut dari 'ibu bapa' saya, saya berjaya menyakinkan pegawai
kasstam bahawa mereka mempunyai masa yang sukar ketika di luar negara
dan masih belum pulih. Dia melepaskan kami kerana kami warga Australia
dan tidak ditahan kerana tiada isu yang besar. Satu perkara yang pelik
adalah saya perasan tiada seorang pun perasan bau busuk pelik yang
keluar dari keluarga saya. Hanya saya, dan juga anjing yang menjaga
tempat kuarantin.
Dua ekor anjing yang bertugas mencium bagasi penumpang itu, memberi
reaksi negatif terhadap bau keluarga saya - dengan hidung mereka
mengerut. Pegawai kuarantin yang sedar dengan perkara itu bertanya jika
kami ada apa-apa untuk 'dideclare'. Dia cuba menyuruh anjing itu pergi
mencium kami tapi ia tidak mahu. Memandangkan tiada apa yang pelik di
bahagian x-ray, kami tidak ditahan dan dibenarkan lepas.
Kami meninggalkan lapangan terbang, ambil bas shutte ke arah kereta
kami. Bermula saat ini, saya sudah mula berfikir benda jahat sudah
terjadi kepada keluarga saya ketika 'perjalan spontan' mereka. Kami
masuk ke dalam kereta dan ayah saya bertanya soalan yang hampir
membuatkan saya menangis ketakutan. Dia beritahu saya dia lupa jalan
pulang ke rumah (kami tinggal di rumah yang sama sejak lahir lagi) dan
jika boleh dia mahu saya menjadi penunjuk arah atau tolong pandu kereta
ini ke rumah.
Saya yang terlalu takut ketika itu melompat ke tempat pemandu. Kami
tinggal di pinggir bandar di timur selatan yang akan mengambil masa 1
jam dari lapangan terbang. Akhirnya kami sampai di rumah dan saat ini,
saya seolah-olah sudah 'tidak berfungsi', di dalam fikiran yang kacau.
Dari jelingan mata, saya ternampak 'bapa' saya melihat-lihat rumah itu
dan senyum dengan banggsa seolah-olah dia tidak pernah sampai ke sini
dan rumah itu diberikan sebagai 'hadiah' kepadanya.
Kesemua ahli keluarga saya masuk ke dalam rumah dan tidur di bilik
masing-masing. Itu sahaja tapi ini mengesahkan bahawa saya telah membawa
masuk sesuatu yang jahat ke dalam rumah saya.
Sekarang sudah 1.07 pagi (kami sampai di tengah malam) ketika saya
menulis ini dan saya tak dapat tidur langsung, sama seperti mereka di
atas. Setiap 10 minit, keluarga saya akan membuat bunyi dengungan
berirama tapi ia sudah berhenti 15 minit sebelum pukul 1 tadi. Saya tak
pasti apa maksudnya tapi saya teringin untuk tahu. Memandangkan kami
muslim, saya cuba berhubung dengan seorang Sheikh yang tahu tentang
benda ini dan berharap agar dia boleh menolong saya. Tapi jujur, saya
tak tahu apa yang akan mendatang. Saya tak tahu kenapa saya menulis,
memandangkan sebelum ini saya tidak pernah 'minat' dalam menulis. Saya
cuma takut dengan apa yang berlaku. Saya cuba kemaskini pada pagi nanti,
saya cuma penat dan tak tahu apa yang perlu difikirkan.